Ringgit teruskan momentum meningkat - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit teruskan momentum meningkat

KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan momentum peningkatan pada hari kelapan berturut-turut hari ini dengan ditutup kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) di tengah-tengah penyusutan dolar, kestabilan harga minyak dan jangkaan memberangsangkan prestasi ekonomi pada suku kedua, kata peniaga.

Mata wang tempatan ditutup pada 4.1880/1920 berbanding dolar AS daripada 4.1930/1960 pada 6 jam petang semalam.

Menurut peniaga, selera risiko pasaran semakin baik ketika dana global cuba mendapat pulangan, antaranya berikutan sentimen lemah dolar AS akibat ketidaktentuan rangsangan fiskal dan ketegangan AS-China.

Sementara itu, Bank Negara Malaysia (BNM) dijadual mengumumkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua 2020 pada 14 Ogos ini yang dijangkakan lemah akibat COVID-19 yang menyebabkan sebahagian aktiviti ekonomi ditutup sepanjang tempoh itu.

"Walaupun angka pada suku kedua tidak begitu memberangsangkan, ekonomi Malaysia telah mencatatkan prestasi baik berbanding negara-negara lain memandangkan kita telah menghentikan sekatan (pergerakan) lebih awal apabila jumlah kes mendatar.

"Ada kemungkinan kejutan positif bahawa pertumbuhan adalah lebih baik daripada yang dijangka," katanya.

Ringgit ditutup bercampur-campur berbanding mata wang penanda aras yang lain.

Ia menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.0558/0599 daripada 3.0619/0646 pada Rabu dan mengukuh berbanding euro kepada 4.9665/9730 daripada 4.9709/9760 semalam.

Bagaimanapun, unit tempatan susut berbanding yen Jepun kepada 3.9663/9708 daripada 3.9661/9701 dan turun berbanding pound Britain kepada 5.5177/5234 daripada 5.5046/5106 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini