Ringgit berbanding dolar AS tutup lebih rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit berbanding dolar AS tutup lebih rendah

KUALA LUMPUR: Ringgit terus ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini walaupun harga minyak meningkat berikutan dolar AS yang lebih kukuh.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan disebut harga pada 4.1320/1370 berbanding 4.1200/1250 ketika ditutup semalam.


Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes, berkata penyusutan mata wang tempatan yang berterusan, didorong terutamanya oleh dolar AS yang lebih kukuh secara menyeluruh.

"Pasaran minyak mentah bergelut dengan kebimbangan baharu mengenai COVID-19 di Eropah dan sedikit kebimbangan terhadap potensi keputusan FTSE Russell untuk tidak menyenaraikan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), dijangka mempengaruhi sentimen pasaran bon dan memberi impak negatif kepada ringgit," katanya.

Innes berkata, sejajar dengan pasaran meluas, harga minyak merosot semalaman berikutan aset pertumbuhan yang susut disebabkan kebimbangan mengenai sekatan pergerakan keluar masuk.

"Masih wujud kebimbangan mengenai kesan kepada permintaan akibat peningkatan semula kes COVID-19 di peringkat global berikutan negara-negara perlu mengimbangi isu-isu ekonomi dan kesihatan untuk kembali bekerja.

"Separuh pertama 2020 akan sentiasa mencerminkan harga minyak yang turun naik," katanya.

Pada jam 6.15 petang, minyak mentah Brent naik 1.28 peratus kepada AS$41.97 setong.

Ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0293/0337 daripada 3.0305/0353 semalam dan naik berbanding pound Britain kepada 5.2836/2908 daripada 5.2942/3010.

Unit mata wang tempatan menokok berbanding euro kepada 4.8497/8560 daripada 4.8546/8617 sebelum ini dan meningkat berbanding yen kepada 3.9514/9570 daripada 3.9551/9610.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini