Data ekonomi China, vaksin COVID-19 pacu ringgit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Data ekonomi China, vaksin COVID-19 pacu ringgit


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, didorong oleh pengumuman data ekonomi China serta perkembangan terkini mengenai vaksin COVID-19.

Pada 6 petang, unit tempatan itu berada pada 4.1415/1465 berbanding dolar AS daripada 4.1470/1520 yang dicatatkan pada penutupan urus niaga Jumaat lalu.

Ketua Strategi Pasaran Global Axi, Stephen Innes, berkata walaupun terdapat sedikit kekecewaan membabitkan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China, namun maklumat penggunaan seperti jualan runcit dan pengeluaran perindustrian sebaliknya menggambarkan landskap China yang semakin pulih.

Ekonomi kedua terbesar dunia yang juga rakan dagang utama Malaysia itu mencatat pertumbuhan ekonomi 4.9 peratus pada suku ketiga tahun ini - lebih pantas berbanding 3.2 peratus pada suku kedua.
Bagaimanapun, ekonominya berkembang pada kadar lebih rendah daripada unjuran awal sebanyak 5.2 peratus.

Pengeluarannya melonjak 6.9 peratus tahun ke tahun pada September lalu, manakala jualan runcit produk pengguna naik 3.3 peratus pada bulan berkenaan.

"Saya juga menjangkakan prestasi mata wang Asia akan lebih mengukuh sekiranya Joe Biden memenangi pilihan raya Presiden AS. Oleh itu, kita mungkin dapat menyaksikan ringgit mencecah paras 4.12 pada tempoh pasca pemilihan pemimpin AS manakala yuan juga mempunyai lebih banyak peluang untuk meningkat.

"Oleh itu, 4.135 bukanlah terlalu jauh sebelum berlangsungnya pilihan raya Presiden AS selagi kita dapat melihat wujudnya perkembangan seperti perjanjian pakej rangsangan di negara maju itu serta harga minyak mentah dapat terus bertahan," katanya kepada Bernama.

Ringgit mencecah paras tertingginya berbanding dolar AS iaitu 4.1347 pada 9 Oktober lalu.
Selain itu, pasaran turut didorong oleh kenyataan Pfizer Inc pada Jumaat lalu mengenai kemungkinan vaksin COVID-19 dapat disediakan untuk AS pada akhir 2020 manakala pemimpin negara maju itu dalam usaha memuktamadkan pakej rangsangan ekonominya.

Dalam pada itu, kalangan penggiat pasaran turut memantau hasil daripada mesyuarat Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) hari ini bagi menilai pasaran berikutan peningkatan ketara kes jangkitan COVID-19.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kelompok mata wang lain.
Ia tidak berubah berbanding dolar Singapura daripada 3.0517/0556 pada Jumaat lalu dan mengukuh berbanding yen kepada 3.9308/9367 daripada 3.9409/9460.

Unit tempatan itu bagaimanapun rendah berbanding pound kepada 5.3819/3900 daripada 5.3654/3735 dan susut berbanding euro pada 4.8679/8755 daripada 4.8553/8628, Jumaat lalu. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini