Ringgit kembali ditutup tinggi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit kembali ditutup tinggi


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini susulan peningkatan tuntutan pengangguran awal negara itu bagi mingguan yang diumumkan dalam tempoh semalaman berikutan gelombang kedua pandemik COVID-19 melanda di seluruh Eropah dan AS, menurut peniaga.

Pada pukul 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.1470/1520 berbanding mata wang negara maju itu daripada 4.1520/1550 ketika ditutup pada Khamis.

Pakar Analisis Pasaran Kanan, OANDA Asia Pacific, Jeffrey Halley berkata sekatan peringkat nasional dijangka dikuatkuasakan di seluruh Eropah.

"Pasaran kewangan bimbang mengenai kesan berpotensi COVID-19 terhadap pemulihan ekonomi di Eropah dan AS, pilihan raya AS yang akan diadakan dua minggu lagi, perbincangan perdagangan Brexit serta ketiadaan petanda rangsangan fiskal AS.

"Mata wang Asia terus bertahan bagi sebahagian besarnya, didorong oleh yuan yang kukuh dan data China yang memberangsangkan," katanya kepada Bernama hari ini.

Ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0517/0556 daripada 3.0520/0547 ketika ditutup pada Khamis dan tinggi berbanding pound Britain kepada 5.3654/3735 daripada 5.3851/3907.

Ringgit naik berbanding euro kepada 4.8553/8628 daripada 4.8620/8672 semalam dan stabil berbanding yen kepada 3.9409/9460 daripada 3.9423/9462.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini