Ringgit diniaga tidak berubah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit diniaga tidak berubah berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, di celah-celah sentimen lemah berikutan keputusan Fitch Ratings menurunkan penarafan kredit Malaysia.
Pada pukul 6 petang, mata wang tempatan kekal pada paras penutupan Isnin iaitu pada 4.0700/0740 berbanding dolar AS.

Ketua Strategi Pasaran Global Axi, Stephen Innes, berkata ringgit bergerak mendatar, sekali gus masih menunjukkan ia agak terkesan oleh keputusan penurunan penarafan kredit itu.

"(Ini) sememangnya tidak dijangkakan terutama dengan risiko besar lain yang berlaku minggu ini membabitkan pengaturan perjanjian Brexit dan dasar Bank Pusat Eropah, ditambah pula dengan kebimbangan sekatan pergerakan di AS dan Kesatuan Eropah yang menjejaskan harga minyak," katanya kepada Bernama.

Pada 4 Disember lalu, Fitch Ratings mengumumkan penurunan penarafan kredit negara ke atas Malaysia daripada 'A-' kepada 'BBB+', dengan tinjauan lebih baik daripada negatif kepada stabil, di celah-celah krisis COVID-19 yang telah melemahkan bukan sahaja kredit utama Malaysia tetapi turut melibatkan negara-negara lain.

Sementara itu, ringgit lebih lemah berbanding mata wang utama yang lain.
Mata wang tempatan lega berbanding dolar Singapura kepada 3.0478/0519 daripada 3.0403/0442 ketika ditutup pada Isnin dan menyusut berbanding pound Britain kepada 5.4335/4396 daripada 5.3997/3054 semalam.

Ringgit jatuh berbanding euro kepada 4.9353/9418 daripada 4.9210/9275 dan lebih rendah berbanding yen Jepun pada 3.9131/9173 daripada 3.9022/9072.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini