Ringgit terus meningkat - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit terus meningkat



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan permintaan yang bertambah baik terhadap unit tempatan disokong oleh kenaikan harga minyak mentah, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit meningkat 115 mata asas kepada 4.0475/0530 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.0590/0620 pada Khamis.

Pasaran tempatan ditutup pada Jumaat minggu lalu sempena cuti umum Hari Krismas.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global Axi, Stephen Innes, berkata harga minyak yang tinggi itu adalah susulan sentimen positif terhadap vaksin COVID-19 yang sudah pun diedarkan ke beberapa negara.

Pada masa ini harga minyak mentah penanda aras Brent berada pada AS$51.97 setong, naik 1.33 peratus.
Dilaporkan bahawa vaksin BNT162b2 daripada Pfizer-BioNTech mRNA telah dilancarkan di Amerika Syarikat minggu lalu.

Sementara itu, syarikat berkaitan kerajaan Pharmaniaga Bhd berkata Malaysia bakal menerima vaksin pada suku pertama 2021 sebaik sahaja mendapat kelulusan daripada kerajaan.

Ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan itu meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0483/0529 daripada 3.0537/0571 pada Khamis minggu lalu dan naik berbanding pound Britain kepada 5.4856/4938 daripada 5.5186/5243.

Ringgit menokok berbanding yen Jepun kepada 3.9114/9178 daripada 3.9153/9193 tetapi susut berbanding euro kepada 4.9570/9649 daripada 4.9479/9528 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini