PKP 2.0: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

PKP 2.0: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup 180 mata asas (bps) lebih lemah berbanding dolar AS hari ini selepas pelabur mengambil sikap berhati-hati sementara menunggu pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pada 6 petang, ringgit disebut harga pada 4.0480/0530 berbanding dolar AS daripada 4.0300/0340 yang direkodkan semasa Jumaat lalu.

Dalam ucapan khasnya pada 6 petang tadi, Perdana Menteri berkata PKP akan dikuatkuasakan di Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Melaka, Johor dan Sabah mulai tengah malam 13 hingga 26 Jan, yang mana pergerakan antara daerah adalah dilarang.

Sementara itu, PKP Bersyarat (PKPB) akan dikuatkuasakan di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan mulai 13 - 26 Jan, manakala Perlis dan Sarawak akan menjalani PKP Pemulihan (PKP) mulai 13 - 26 Jan.

Kenanga Research dalam satu nota yang dikeluarkan hari ini memberitahu sentimen perdagangan yang berhati-hati telah berlarutan di pasaran tempatan sebelum ini berdasarkan kemungkinan pengenalan semula PKP.

"Ringgit mungkin diniagakan pada sentimen yang agak berwaspada minggu ini disebabkan pelabur sedang menunggu potensi pengenalan langkah-langkah yang lebih ketat berikutan kes COVID-19 domestik yang semakin serius," katanya.

Kenanga Research berkata ringgit dilihat mendapat manfaat daripada kelemahan dolar AS yang berterusan susulan prospek Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) yang mengesahkan semula sabitannya untuk terus kekal.

Daripada segi teknikal, firma penyelidikan itu berkata petunjuk purata bergerak eksponen (EMA) lima hari memberi isyarat bahawa ringgit mungkin mencatat kenaikan berbanding dolar AS sebanyak 0.1 peratus kepada 4.026 pada minggu ini.

"Ia berdepan sokongan awal pada 4.011, diikuti 3.992. Sebaliknya, kenaikan berterusan melebihi 4.043 mencadangkan trend penurunan ringgit yang dilanjutkan," tambahnya lagi.

Pada penutup, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0436/0478 daripada 3.0420/0459 yang dicatatkan semasa Jumaat lepas dan jatuh berbanding yen kepada 3.8882/8934 daripada 3.8813/8863.

Berbanding pound, mata wang tempatan itu menokok kepada 5.4616/4687 daripada 5.4804/4875 dan mengukuh berbanding euro pada 4.9236/9309 berbanding 4.9319/9384 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini