Ringgit kembali mengukuh, RM4.0080 berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit kembali mengukuh, RM4.0080 berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS hari ini mendapat rangsangan daripada peningkatan harga minyak mentah dan kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS), di tengah-tengah sentimen minat risiko dalam pasaran.

Pada 6 petang, mata wang tempatan berada pada 4.0080/0130 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.0140/0200 pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata peningkatan ringgit itu seiring dengan kenaikan penanda aras minyak mentah Brent yang meningkat kepada lebih AS$53 setong hari ini.

Beliau berkata, harga minyak mentah melonjak hari ini selepas Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu-sekutunya (OPEC+) memutuskan untuk mengurangkan kuota pengeluaran bagi Februari dan Mac, dengan Arab Saudi mengumumkan tambahan pengurangan satu juta tong sehari (mbpd).

Ini menjadikan jumlah pengurangan pengeluaran sebanyak 8.125 mbpd dan 8.05 mbpd masing-masing bagi Februari dan Mac, katanya.

"Ini membantu ringgit memandangkan korelasi positif antara minyak mentah dan ringgit. Oleh itu ringgit Malaysia kekal kukuh buat masa ini," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Pakar Strategi Pasaran Axi, Stephen Innes berkata ringgit mendapat rangsangan daripada kenaikan harga minyak selepas Arab Saudi komited untuk mengurangkan sejumlah besar kuota pengeluarannya.

"Ditambah dengan kemungkinan besar parti Demokratif akan menang besar dalam pengundian Kongres telah menyaksikan dolar menyusut berikutan jangkaan lebih banyak lagi pakej rangsangan," katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain kecuali yen Jepun.

Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0440/0480 daripada 3.0425/0482 pada Selasa, turun berbanding euro kepada 4.9443/9516 daripada 4.9256/9341 dan jatuh berbanding pound

Britain kepada 5.4685/4757 daripada 5.4474/4572 sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.8954/9022 daripada 3.9032/9094 pada Selasa.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini