Ringgit kukuh akhiri 2020 - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit kukuh akhiri 2020




KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini iaitu hari dagangan terakhir 2020, meneruskan kenaikan semalam.

Ia didorong minat belian yang berlanjutan susulan sentimen positif terhadap vaksin COVID-19, kata penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan mengukuh kepada 4.0200/0250 berbanding mata wang negara maju itu daripada 4.0350/0390 ketika ditutup pada Rabu.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global Axi, Stephen Innes, berkata ringgit mencatatkan prestasi akhir tahun yang amat cemerlang, dengan pergerakan meningkat penuh untuk berada setanding mata wang negara Asia utara.

"Penemuan vaksin telah mengorak laluan untuk ekonomi berkembang pesat, dan pengagihan pantas vaksin di United Kingdom memberi harapan bahawa isu logistik untuk pengagihan vaksin ke seluruh dunia akan dapat diatasi dengan mudah, sekali gus mendorong pemulihan ekonomi yang lebih pantas berbanding jangkaan," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan naik berbanding dengan dolar Singapura kepada 3.0395/0444 daripada 3.0441/0481 ketika ditutup semalam dan meningkat berbanding dengan euro kepada 4.9358/9427 daripada 4.9497/9559.

Ringgit stabil berbanding dengan yen Jepun kepada 3.9018/9078 daripada 3.9084/9126 semalam namun rendah berbanding dengan pound Britain kepada 5.4905/4977 daripada 5.4775/4846.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini