Ringgit susut, alami pembetulan teknikal - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit susut, alami pembetulan teknikal



KUALA LUMPUR: Ringgit susut berbanding kenaikan semalam dan ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan pembetulan teknikal, dan mata wang AS itu tinggi susulan belian selamat selepas Demokrat berjaya menguasai Senat AS.

Bagaimanapun, Senat yang dikuasai Demokrat pada amnya, dilihat positif untuk pertumbuhan ekonomi di peringkat global dan aset yang lebih berisiko tetapi negatif bagi dolar AS, kata peniaga.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan berada pada 4.0350/0410 berbanding dolar AS daripada 4.0080/0130 semasa ditutup pada Rabu.

Penganalisis Pasaran FXTM, Han Tan, berkata ringgit merosot bersama dengan mata wang Asia lain pada Khamis, berikutan penurunan dolar AS.

"Walaupun dolar AS/ringgit tidak mengekalkan kedudukan sub-RM4.00 yang dilihat pada awal minggu ini, aliran penurunan keseluruhan untuk pasangan mata wang itu kekal kukuh.

"Dolar AS dijangka terus mencatatkan penurunan selepas apa yang disebut 'Gelombang Biru' (Demokrat), yang akan membolehkan mata wang Asia mencatatkan paras lebih tinggi untuk pelbagai tahun," katanya.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ringgit berada pada tahap pembetulan teknikal berikutan pasaran mengambil kira situasi politik dan COVID-19 di Malaysia.

Ringgit turut diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0508/0563 daripada 3.0440/0480 pada Rabu dan susut berbanding euro kepada 4.9501/9583 daripada 4.9443/9516.
Mata wang tempatan turun berbanding yen Jepun kepada 3.8955/9021 daripada 3.8954/9022 semalam dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.4848/4941 daripada 5.4685/4757.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini