Ringgit terus mengukuh berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit terus mengukuh berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, didorong oleh peningkatan harga minyak mentah dan penyusutan dolar akibat kemerosotan penanda aras hasil Perbendaharaan AS 10 tahun.

Pada 6 petang, ringgit diniagakan pada 4.0410/0460 berbanding dolar AS daripada 4.0550/0600 semasa ditutup semalam.

Ketua Strategi Pasaran Global Axi, Stephen Innes, berkata pemulihan ringgit lebih dipacu oleh komoditi, terutamanya menerusi harga minyak mentah yang sering memanfaatkan unit tempatan.
"Harga minyak mentah diniagakan lebih tinggi berbanding semasa tahap pra-pandemik akibat perdagangan pemulihan semula berikutan impak rangsangan AS," katanya kepada Bernama.

Setakat ini, penanda aras minyak mentah Brent meningkat 0.09 peratus berbanding sesi sebelum ini kepada AS$56.63 setong, manakala hasil Perbendaharaan AS 10 tahun menyusut melebihi enam mata asas daripada paras tertinggi 10 bulan pada Selasa, menyokong kenaikan dolar AS selama tiga hari berturut-turut.

Mengenai sentimen pasaran terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 selama dua minggu yang bermula hari ini, Innes berkata, sekatan pergerakan itu akan hanya dilihat menjejaskan pada peringkat ini memandangkan pemulihan keyakinan terhadap vaksin akan menjadi lebih penting daripada risiko jangka pendek sekatan pergerakan itu.

Sementara itu, Kenanga Research menjangka unit tempatan akan berada dalam lingkungan RM4.05-RM4.10 berbanding satu dolar AS dalam tempoh terdekat ini berikutan pelaksanaan PKP 2.0 dan pengisytiharan darurat di seluruh negara.

"Bagaimanapun, kami masih mengekalkan unjuran akhir tahun bagi dolar AS-ringgit iaitu RM3.95 berikutan pelaksanaan vaksin yang efektif, harga minyak mentah Brent yang lebih tinggi dan penyusutan meluas dolar AS," katanya.

Sewaktu ditutup, ringgit diniagakan lebih tinggi daripada mata wang utama lain, kecuali berbanding pound.

Unit tempatan itu mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0498/0543 daripada 3.0535/0575 pada Selasa dan meningkat berbanding yen kepada 3.8912/8964 daripada 3.8927/89784 semalam.

Ia menokok 4.9252/9325 daripada 4.9313/9378 berbanding euro semalam, manakala susut berbanding pound kepada 5.5313/5398 daripada 5.5156/5236 sebelum ini. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini