Harga minyak meningkat, ringgit terus kukuh - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Harga minyak meningkat, ringgit terus kukuh



KUALA LUMPUR: Ringgit mencatat prestasi mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada awal dagangan Rabu, didorong oleh minat belian berterusan susulan peningkatan harga minyak, kata penganalisis.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan itu diniagakan pada paras 4.0450/0459 berbanding dolar AS daripada 4.0460/0500 di akhir dagangan pada Selasa.

Ketua Strategis Pasaran Global Axi, Stephen Innes, berkata ringgit diniagakan lebih positif dan seiring dengan prestasi mata wang negara-negara pengeksport minyak lainnya serta turut dipacu oleh pengukuhan yuan berikutan jangkaan permintaan kredit China yang memberangsangkan bagi Januari.

"Peningkatan harga minyak pada paras AS$60 setong akan memperkukuh kedudukan fiskal Malaysia berikutan andaian kerajaan dalam Belanjawan 2021 adalah pada AS$42 setong bagi tahun ini dan sekitar AS$45-AS$55 setong bagi 2022-2023.

"Selain itu, ini juga dapat memberi ruang kepada kerajaan untuk menggunakannya bagi tujuan perbelanjaan serta membiayai projek-projek prasarana besar," katanya kepada Bernama.

Setakat pagi Rabu, minyak mentah Brent naik 0.11 peratus untuk diniagakan pada AS$61.16 setong.
Dalam pada itu, ringgit kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0491/0534 daripada 3.0488/0520 pada Selasa serta rendah berbanding euro kepada 4.8997/9074 daripada 4.8993/8046 serta merosot berbanding pound Britain kepada 5.5865/5943 daripada 5.5754/5817 sebelum ini.

Ringgit bagaimanapun meningkat berbanding yen kepada 3.8664/8715 daripada 3.8688/8734 pada Selasa.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini