Ringgit susut hari kedua berturut-turut - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit susut hari kedua berturut-turut




 KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan penurunan semalam untuk ditutup rendah hari ini berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan pengambilan untung berterusan selepas kenaikan baru-baru ini meskipun prospek harga minyak global yang positif.

Pada penutup dagangan, mata wang tempatan turun kepada 4.0400/0440 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.0370/0420 pada Rabu.

Seorang peniaga berkata, harga minyak meningkat pada Khamis mencecah paras tertingginya dalam tempoh 13 bulan apabila cuaca sejuk melampau yang melanda Texas dan wilayah sekitarnya menyebabkan penutupan sekurang-kurangnya satu perlima daripada loji penapisan minyak Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun, beliau berkata pelabur masih berhati-hati di tengah-tengah kebimbangan pandemik COVID-19 yang menjejaskan data ekonomi positif AS.

Unit tempatan juga diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.
Ringgit turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0433/0472 daripada 3.0388/0432 pada Rabu dan susut berbanding euro kepada 4.8771/8783 daripada 4.8710/8783.

Unit tempatan turut jatuh berbanding yen Jepun kepada 3.8218/8263 daripada 3.8092/8154 dan berkurangan berbanding pound Britain kepada 5.6249/6321 daripada 5.6046/6131.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini