Ringgit terus meningkat, disokong kenaikan harga minyak - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit terus meningkat, disokong kenaikan harga minyak



KUALA LUMPUR: Ringgit terus mengukuh dan ditutup tinggi hari ini berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) di tengah-tengah kelemahan nilai dolar AS ditambah dengan peningkatan harga minyak mentah susulan keyakinan terhadap pemulihan.

Dolar AS menyusut untuk sesi ketiga berturut-turut seiring dengan hasil yang lebih rendah, kata penganalisis.

Pada penutup, mata wang tempatan naik kepada 4.0420/0460 berbanding dolar AS 4.0460/0500 ketika ditutup pada Selasa.

Ketua Strategi Pasaran Global, Axi, Stephen Innes, berkata prestasi ringgit sangat baik hari ini berikutan harga minyak yang lebih tinggi selaras dengan mata wang negara pengeksport minyak yang lain dan minat mengambil risiko di Asia, dan ia disokong oleh trend pemulihan COVID-19 dan dorongan lebih banyak rangsangan ekonomi AS.

"Di Malaysia, trend yang lebih spesifik adalah meningkatnya keyakinan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan telah berjaya dan terdapat kemungkinan kelonggaran had pergerakan akan berlaku dengan lebih cepat dari jangkaan. Ini meningkatkan sentimen pasaran dan permintaan untuk ringgit," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, mata wang tempatan juga didagangkan dengan lebih tinggi hari ini berbanding mata wang asing lain kecuali pound.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0460/0494 berbanding 3.0488/0520 semalam dan mengukuh berbanding euro kepada 4.8981/9042 daripada 4.8993/9046 sebelumnya.

Ringgit juga menokok berbanding yen kepada 3.8565/8618 daripada 3.8688/8734 semalam namun susut berbanding pound kepada 5.5913/5980 daripada 5.5754/5817.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini