Pelbagai faktor luaran jejas prestasi ringgit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Pelbagai faktor luaran jejas prestasi ringgit



KUALA LUMPUR: Gabungan beberapa faktor termasuk kenaikan hasil dalam bon 10 tahun Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) serta jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar China (KDNK) 2021 yang lebih sederhana menjejaskan prestasi ringgit berbanding dolar AS hari ini, walaupun harga minyak semakin kukuh.

Pada jam 6 petang, ringgit susut kepada 4.0720/0760 berbanding dolar AS daripada 4.0550/0600 yang direkodkan semalam.

Ketua Strategi Pasaran Global Axi, Stephen Innes, berkata petunjuk yang bercanggah di pasaran telah memberi kesan kepada prestasi mata wang tempatan.

"Ia bukan persekitaran yang menarik untuk ringgit dan had kepantasan 1.5 peratus 10 tahun hasil AS amat membimbangkan bagi risiko pertukaran asing Asia," katanya.

Beliau menjelaskan, hasil bon AS akan menjadi penentu utama ringgit dan adalah lebih baik untuk berhati-hati terhadap risiko ringgit sehingga pasaran melihat paras tertinggi dalam hasil AS.
Dilaporkan bahawa data ekonomi AS yang lebih kukuh sewajarnya mendorong penanda aras 10 tahun hasil Perbendaharaan AS sehingga 1.9 peratus menjelang akhir tahun.

Sementara itu, ringgit lemah berbanding mata wang utama lain.

Ia jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0359/0395 daripada 3.0416/0460 yang dicatatkan Khamis, turun berbanding pound Britain kepada 5.6267/6338 daripada 5.6470/6556, melonjak berbanding yen Jepun kepada 3.7544/7584 daripada 3.7774/7827.

Ringgit turut mengukuh berbanding euro kepada 4.8563/8627 daripada 4.8786/8854.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini