Ringgit ditutup lebih rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup lebih rendah



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat, berikutan pengukuhan mata wang negara maju itu mengekang minat risiko terhadap mata wang negara pesat membangun dalam keadaan pemangkin pasaran tempatan yang lemah, kata peniaga.

Pada jam 6 petang, ringgit ditutup pada 4.1445/1485 berbanding dolar AS daripada 4.1440/1490 ketika penutupan pada Khamis.

Dolar AS mengukuh apabila pelabur yakin bahawa data ekonomi AS yang akan datang bertambah baik dan pulangan ke atas bon-bon Perbendaharaan AS juga meningkat, ditambah dengan pelaksanaan program vaksin COVID-19.

"Ringgit susut (bagi hari kelima berturut-turut) susulan kebimbangan berhubung peningkatan semula kes COVID-19 di Eropah, yang membawa kepada pengenaan semula perintah sekatan," kata Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim.

Bagaimanapun, beliau berkata, kenaikan semula harga minyak mentah meskipun dalam julat yang kecil telah membantu mengehadkan aliran penyusutan ringgit.
Buat masa ini, minyak mentah Brent yang menjadi penanda aras global meningkat dua peratus kepada AS$63.19 setong.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama.

Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0778/0814 daripada 3.0769/0813 ketika ditutup pada Khamis dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.7153/7224 daripada 5.6777/6854.
Ringgit bagaimanapun meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.7853/7900 daripada 3.7994/8050 dan kukuh berbanding euro kepada 4.8872/8927 daripada 4.8936/9012.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini