Ringgit susut kepada RM4.15 berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit susut kepada RM4.15 berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit terus merosot untuk dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, berikutan mata wang AS itu yang kukuh dan hasil Perbendaharaan yang tinggi.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan merosot 10 mata asas untuk dibuka kepada 4.1500/1560 berbanding dolar AS daripada 4.1490/1530 semasa ditutup semalam.

Paras 4.15 adalah paras yang kali terakhir dilihat pada 3 November 2020 apabila unit tempatan ditutup pada 4.1540/1580 berbanding dolar AS.

"Hasil Perbendaharaan AS yang tinggi telah menjejaskan sentimen positif ringgit," kata Ketua Strategi Pasaran Global Axi, Stephen Innes kepada Bernama.

Innes berkata, walaupun Malaysia dikeluarkan daripada Senarai Pemantauan FTSE Russell, berita itu tidak dapat membendung gelombang jualan ringgit.

"Ini mungkin disebabkan pelabur bon asing telah menjadi penjual bon yang lebih baik daripada pembeli bon tempatan," katanya.

Menurut laporan berita, hasil Perbendaharaan AS untuk tempoh 10 tahun meningkat kepada paras tertinggi dalam tempoh 14 bulan pada Selasa, disokong oleh jangkaan kepada pemulihan ekonomi AS yang kukuh.

Pada pembukaan, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama, kecuali dolar Singapura apabila unit tempatan susut kepada 3.0809/0865 daripada 3.0799/0841 semasa ditutup pada Selasa.

Unit tempatan naik berbanding yen kepada 3.7489/7553 daripada 3.7633/7672, meningkat berbanding euro kepada 4.8638/8725 daripada 4.8697/8760, dan naik berbanding pound kepada 5.7021/7116 daripada 5.7094/7158 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini