Ringgit akhiri dagangan lebih rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit akhiri dagangan lebih rendah




KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu.
Ia berikutan pelabur mengurangkan pegangan jangka pendek ke atas dolar AS menjelang hasil mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan (FOMC) AS selain peningkatan pulangan ke atas bon Perbendaharaan negara itu, kata penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan berada pada 4.1000/1050 berbanding dolar AS daripada 4.0960/0990 ketika ditutup pada Selasa.

Beliau berkata, pulangan meningkat semula ketika peserta pasaran menunggu perkembangan daripada kerajaan AS dan bank pusatnya, dengan Presiden Joe Biden dijadualkan menyampaikan ucapan pertama di Kongres pada Rabu.

Bagaimanapun, Penganalisis Pasaran Kanan bagi Asia Pasifik OANDA, Jeffrey Halley berkata peserta pasaran menjangkakan tiada sebarang perubahan ke atas garis panduan FOMC, yang akan membawa kepada pengukuhan ringgit bagi baki tempoh minggu ini.

"Bagi hari ini, penurunan ringgit telah dihadkan oleh harga minyak mentah lebih tinggi selain data prestasi perdagangan yang kukuh bagi Mac 2021 yang dikeluarkan hari ini," katanya kepada Bernama.

Prestasi perdagangan Malaysia terus berada pada trajektori meningkat pada Mac, mencatatkan nilai perdagangan, eksport dan import bulanan yang tertinggi, dengan nilai perdagangan melonjak 25.6 peratus tahun ke tahun kepada RM185.74 bilion.

"Eksport Malaysia pada Mac 2021 menunjukkan pemulihan kukuh, diterajui oleh elektronik, dan ini akan mengekalkan kenaikan ringgit baru-baru ini walaupun berhati-hati menjelang hasil mesyuarat FOMC malam ini," katanya.

Semasa laporan ini ditulis, harga minyak mentah Brent yang menjadi penanda aras pasaran meningkat 0.17 peratus kepada AS$66.53 satu tong.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah kebanyakannya berbanding mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding yen kepada 3.7646/7695 daripada 3.7824/7856 ketika penutupan pada Selasa namun rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0911/0955 daripada 3.0883/0908.

Ringgit juga susut berbanding euro kepada 4.9467/9539 daripada 4.9410/9463 dan lemah berbanding pound Britain kepada 5.6941/7018 daripada 5.6865/6923.

Pasaran akan ditutup pada Khamis susulan cuti umum sempena Nuzul Quran dan beroperasi semula pada Jumaat.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini