Ringgit dibuka kukuh berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka kukuh berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka kukuh berbanding dolar AS pagi ini, dirangsang oleh minat belian diperbaharui selepas pelabur mengambil petunjuk daripada peningkatan harga minyak mentah, kata seorang penganalisis.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan disebut harga pada 4.0985/1015 berbanding dolar AS daripada 4.1000/1050 ketika disebut harga pada petang Rabu.

Pasaran ditutup pada Khamis sempena cuti umum Nuzul al-Quran.

Pada urus niaga Khamis, minyak penanda aras Brent meningkat 1.61 peratus kepada AS$68.41– paras tinggi enam minggu dengan tinjauan yang cerah ke atas ekonomi AS dan permintaan untuk minyak mentah berjaya mengimbangi prospek lemah ekoran krisis COVID-19 di India.

Di dalam negara, penganalisis itu turut berkata data prestasi dagangan Malaysia yang positif untuk Mac 2021 berserta penyambungan semula kegiatan ekonomi dan perbelanjaan rangsangan global membantu meningkatkan sentimen untuk mata wang tempatan.

Prestasi dagangan Malaysia terus mencatatkan peningkatan pada Mac, merekodkan nilai bulanan tertinggi untuk perdagangan, eksport dan import dengan jumlah dagangan mengembang 25.6 peratus tahun ke tahun kepada RM185.74 bilion.

Sementara itu, Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan Amerika Syarikat (FOMC) telah memutuskan untuk mengekalkan dasar kadar faedah hampir sifar pada mesyuarat yang diadakan pada Rabu.

Penganalisis pasaran OANDA Kenny Fisher turut maklum ketika pengerusi Rizab Persekutuan AS Jerome Powell menyatakan adalah terlalu awal untuk membicarakan mengenai kadar faedah yang meruncing, hasil Perbendaharaan AS mulai menyusut dan ini sekali gus turut mengheret turun nilai dolar AS.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama yang lain.
Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0902/0927 daripada 3.0911/0955 pada Rabu dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.7635/7673 daripada 3.7646/7695 sebelum ini.

Ringgit menyusut berbanding euro kepada 4.9678/9731 daripada 4.9467/9539, dan lemah berbanding pound Britain kepada 5.7182/7232 daripada 5.6941/7018 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini