Ringgit dibuka lebih rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka lebih rendah



KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada urus niaga pagi Isnin dengan menyaksikan mata wang tempatan itu terus terjejas di tengah-tengah kebimbangan terhadap peningkatan kes kematian COVID-19, sekatan pergerakan serta kadar pemberian vaksinasi.

Kesemua ini dilihat sebagai ancaman jangka pendek kepada ekonomi tempatan.

Pada jam 9 pagi, ringgit susut kepada 4.1340/1370 berbanding dolar AS daripada penutupan Rabu minggu lepas iaitu 4.1230/1280.

Pedagang ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz, berkata kedua-dua dolar AS dan ringgit bergerak secara mendatar sejak minggu lalu tatkala pasaran semakin bimbang dengan peningkatan kadar inflasi AS dan potensi impaknya terhadap dolar AS dalam jangka panjang.

"Kekurangan peristiwa makroekonomi yang penting boleh menyebabkan pergerakan terus mendatar dan dari sudut pandangan teknikal, sekiranya harga mencecah paras 4.1300, pasaran boleh bergerak lebih tinggi sehingga mencapai paras 4.1500," katanya.

Sementara itu, rakan pengurusan global SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata hala tuju ringgit akan ditentukan oleh perbahasan Rizab Persekutuan AS dan keluk epidemik COVID-19 di dalam negara.

"Peningkatan kes yang membimbangkan di Malaysia minggu lalu akan terus mempengaruhi sentimen terhadap unit tempatan," kata beliau kepada Bernama.

Sementara itu, unit tempatan diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama yang lain.
Ringgit meningkat berbanding dolar AS kepada 3.0969/1003 daripada 3.1023/1073, mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.8223/8282 daripada 5.8279/8353 dan lebih tinggi berbanding yen kepada 3.7771/7808 daripada 3.7909/7966.

Bagaimanapun, ia menyusut berbanding euro kepada 5.0154/0194 daripada 5.0028/0102 sebelumnya.
Pasaran mata wang tempatan kembali berurus niaga hari ini selepas cuti umum sambutan Hari Raya Aidilfitri pada Khamis dan Jumaat minggu lalu.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini