Ringgit sekali lagi ditutup lemah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit sekali lagi ditutup lemah




KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan peningkatan kebimbangan terhadap kes COVID-19 tempatan yang semakin melonjak.

Pada 6 petang, ringgit berada pada 4.1900/1930 berbanding dolar AS daripada 4.1895/1940 yang dicatatkan Jumaat lalu.

Kenanga Research dalam notanya menjelaskan ringgit juga ditutup rendah berbanding kebanyakan mata wang utama disebabkan sentimen mula berubah kepada berhati-hati di tengah-tengah ketidaktentuan politik domestik yang diperbaharui.

"Mata wang tempatan itu dijangka tidak stabil dalam minggu ini berikutan persekitaran COVID-19 yang semakin buruk di Malaysia, iklim politik yang tidak menentu dan kekurangan pemangkin ringgit.

"Bagaimanapun, harga minyak mentah yang mengukuh mungkin akan terus memberikan sokongan kepada mata wang petroleum dan sewajarnya membantu mengehadkan penurunan ringgit," katanya.

Kementerian Kesihatan melaporkan jumlah kes COVID-19 direkodkan pada 8,574 semasa Isnin, menjadikan jumlah kes terkumpul kepada 844,870.

Nota tempatan juga diniagakan lebih rendah berbanding mata wang utama kecuali yen.

Ia menyusut berbanding pound kepada 5.8082/8123 daripada 5.7798/7860, ia turun berbanding euro kepada 4.9668/9704 daripada 4.9667/9720 dan merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.1003/1027 daripada 3.0953/0991 sebelumnya.

Berbanding yen, ia menokok kepada 3.8053/8080 daripada 3.8076/8120.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini