Urus niaga ringgit ditutup tinggi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Urus niaga ringgit ditutup tinggi



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini susulan perkembangan terkini mesyuarat Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) pada Isnin.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim, berkata OPEC+ menangguhkan mesyuarat terbabit yang bermakna tiada sebarang keputusan diambil untuk meningkatkan pengeluaran bermula Ogos apabila Emiriah Arab Bersekutu (UAE) tidak berpuas hati dengan paras pengeluaran kerana ia percaya pengeluarannya sepatutnya lebih tinggi.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan berada pada 4.1530/1560 berbanding dolar AS daripada paras 4.1560/1575 pada Isnin.

Menurut Adam, berikutan tiadanya perjanjian untuk meningkatkan pengeluaran bermula Mac tahun ini akan menyebabkan bekalan minyak yang terhad dan seterusnya meningkatkan harga minyak.

"Dengan harga minyak dijangka tinggi disebabkan ini, ringgit yang mempunyai hubungan positif dengan harga minyak mentah Brent dijangka mendapat manfaat daripada perkembangan tersebut," katanya.

Hari ini, penanda aras global harga minyak Brent meningkat 0.25 peratus kepada AS$77.35 setong.

Sementara itu, pada penutup dagangan hari ini, ringgit ditutup tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.7502/7544 daripada 5.7577/7598 pada Isnin dan naik berbanding euro kepada 4.9172/9207 daripada 4.9357/9374.

Ringgit mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.7482/7512 daripada 3.7495/7512 dan menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.0877/0902 daripada 3.0900/0915 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini