Kebimbangan kes COVID-19 tinggi heret turun ringgit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Kebimbangan kes COVID-19 tinggi heret turun ringgit



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin berikutan kebimbangan terhadap kes COVID-19 harian yang terus kekal tinggi di negara ini, mencecah 15,764 kes hari ini, kata penganalisis.

Pada jam, 6 petang, unit tempatan turun kepada 4.2240/2255 berbanding dolar AS daripada 4.2190/2220 ketika ditutup pada Jumaat minggu lalu.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim, berkata kes COVID-19 dilihat terus mendorong peningkatan memberangsangkan dos vaksinasi harian, yang mencapai kira-kira 500,000 dos sehari baru-baru ini.

"Kelemahan ringgit juga seiring dengan harga minyak mentah Brent yang lebih rendah susulan prospek permintaan suram disebabkan kemungkinan gangguan terhadap pemulihan ekonomi global ekoran varian Delta yang merebak dengan cepat," katanya.

Pada penutupan pasaran, unit tempatan diniagakan rendah kebanyakannya berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.1256/1272 daripada 3.1189/1216 ketika ditutup Jumaat lalu dan rendah berbanding euro kepada 5.0240/0262 daripada 5.0181/0216.

Mata wang tempatan susut berbanding yen Jepun kepada 3.8554/8571 daripada 3.8502/8529 namun meningkat berbanding pound Britain kepada 5.8794/8815 daripada 5.8935/8977.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini