Data eksport kukuh, ringgit ditutup lebih tinggi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Data eksport kukuh, ringgit ditutup lebih tinggi


KUALA LUMPUR: Nilai ringgit meningkat sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika ditutup petang ini, disokong oleh data eksport Malaysia yang memberangsangkan untuk bulan Ogos walaupun terdapat peningkatan dalam hasil Perbendaharaan AS, kata seorang peniaga.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan berada pada 4.1830/1855 berbanding dolar AS daripada 4.1835/1855 penutupan semalam.

Seorang peniaga berkata, ringgit mendapat sokongan padu daripada pengumuman data eksport yang lebih baik daripada jangkaan serta lebihan perdagangan yang kukuh di tengah-tengah laporan menyatakan negara sedang mempertimbang untuk membuka semula lebih banyak ekonomi selain membenarkan perjalanan rentas negeri.

Sementara itu, Penganalisis Kanan Pasaran OANDA Asia Pacific, Jeffrey Halley, berkata buat masa ini, harga tenaga yang tinggi dan pembukaan semula ekonomi mampu membantu mengelakkan ringgit daripada menyusut.

Pada penutupan, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama yang lain.

Unit tempatan itu meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0821/0844 berbanding 3.0831/0848 pada penutupan urus niaga Selasa, mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.6579/6613 daripada 5.7071/7099, dan lebih tinggi berbanding euro kepada 4.8799/8828 daripada 4.8851/8874 sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit lemah berbanding yen Jepun kepada 3.7586/7609 daripada 3.7577/7599 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini