Ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit terus ditutup rendah sedikit berbanding dolar AS hari ini apabila pelabur kekal tidak memasuki pasaran, sementara menunggu pengumuman laporan gaji bukan ladang Amerika Syarikat (AS) bagi mencari lebih banyak petunjuk bila Rizab Persekutuan AS akan memulakan pengurangan program pembelian bonnya tahun ini.

Pada 6 petang, unit tempatan merosot kepada 4.1570/1600 berbanding dolar AS daripada 4.1535/1550 pada Rabu.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata laporan pekerjaan yang lebih baik akan menunjukkan ekonomi AS semakin pulih, memberi pengukuhan kepada dolar AS dan seterusnya menyebabkan mata wang lain, termasuk ringgit menjadi lemah.

"Ini mungkin akan mengimbangi sentimen positif daripada langkah Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya untuk bersetuju terus meningkatkan pengeluaran minyak dengan menambah output sebanyak 400,000 tong sehari sehingga akhir 2022," katanya.

Beliau berkata pertubuhan itu juga menolak tekanan AS untuk meningkatkan lagi pengeluaran minyak, yang akan membantu membendung sebarang kejatuhan drastik dalam harga minyak, yang mana ia akan memberikan sokongan positif kepada unit tempatan.

Sementara itu, unit tempatan juga diniagakan lebih rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ringgit turun berbanding yen Jepun kepada 3.7801/7832 daripada 3.7663/7677 pada Rabu dan merosot berbanding euro kepada 4.9265/9300 daripada 4.9099/9116.

Unit tempatan juga susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0930/0955 daripada 3.0854/0867 dan turun berbanding pound British kepada 5.7333/7375 daripada 5.7144/7164 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini