Dagangan ringgit ditutup kukuh - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Dagangan ringgit ditutup kukuh

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini selepas dirangsang oleh kenaikan sentimen terhadap mata wang tempatan dan pembetulan dalam dolar AS, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit melonjak kepada 4.1730/1760 berbanding dolar AS semasa ditutup pada Jumaat lalu yang mencatatkan 4.1770/1810.

Menurut Ketua Ekonomi Bank Islam, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, indeks dolar AS atau DXY merosot di bawah 94 mata, menunjukkan bahawa pembetulan teknikal sedang berlaku berikutan kedudukannya yang terlalu tinggi berdasarkan carta teknikal.

"Ringgit nampaknya bersifat konstruktif buat masa ini selepas menerima sokongan daripada peningkatan harga komoditi iaitu minyak mentah Brent," katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan keadaan masih agak selesa memandangkan permintaan untuk aset komoditi selamat tetap utuh selepas kebimbangan terhadap syarikat harta tanah China yang ingkar dapat memicu pengunduran ke kawasan selamat dalam pasaran kewangan.

"Sementara itu, semua mata akan tertumpu pada pasaran tenaga kerja AS pada Jumaat ini, yang mana data mengenai upah bukan perladangan (NFP) akan dikeluarkan," tambah beliau.

Pada penutup, ringgit diniagakan bercampur-campur dengan sekumpulan mata wang utama.

Ia menokok berbanding yen Jepun kepada 3.7510/7540 daripada 3.7580/7616 yang dicatatkan semasa Jumaat sebelum ini dan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0727/0751 berbanding 3.0756/0788.

Ringgit merosot berbanding pound British kepada 5.6674/6714 daripada 5.6373/6427 dan susut berbanding euro kepada 4.8440/8475 daripada 4.8361/8408.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini