Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Aktiviti pengambilan untung menyaksikan ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat, selepas mencatat pengukuhan selama enam hari berturut-turut.

Pada jam 6 petang ini, ringgit susut kepada 4.1560/1590 berbanding dolar AS daripada paras 4.1525/1560 pada akhir urus niaga Khamis.

Bagaimanapun, peniaga berkata dolar AS kekal dalam wilayah pengukuhan berikutan sentimen optimis membabitkan pemulihan ekonomi global.

"Laporan media mengenai data tuntutan pengangguran AS ternyata berbeza daripada jangkaan awal manakala data Indeks Harga Pengeluar pula melebihi jangkaan yang hanya menyokong kepada pengukuhan dolar AS," katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ringgit mengukuh pada sesi urus niaga awal hari ini, malah mencecah RM4.1543 sebelum susut ke paras RM4.1573 pada urus niaga tengah hari.

"Namun, ringgit masih dilihat mendapat manfaat daripada kenaikan harga komoditi.

"Malah, sentimen optimis mengenai pembukaan semula ekonomi dan kenaikan berturut-turut harga minyak mentah dan harga minyak sawit mentah juga terus memberi sokongan terhadap ringgit," katanya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain kecuali yen.

Ia susut berbanding pound Britain kepada 5.7049/7091 daripada 5.6985/7033 semalam dan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0824/0849 berbanding 3.0807/0835, sebelum ini.

Ringgit juga rendah berbanding euro kepada 4.8222/8257 daripada 4.8215/8255 pada Khamis namun mengukuh berbanding yen kepada 3.6341/6368 daripada 3.6638/6672 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini