Ringgit terus susut - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit terus susut


KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan penyusutannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi awal urus niaga Rabu selepas mata wang negara maju mengukuh susulan data Jualan Runcit AS bagi Oktober yang meningkat 1.7 peratus berbanding jangkaan ramai pada 1.4 peratus.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan merosot kepada 4.1720/1755 berbanding 4.1645/1680 ketika urus niaga ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata perkembangan itu menunjukkan AS tidak terjejas oleh tekanan inflasi, malah terus berbelanja yang membayangkan kemungkinan kenaikan kadar faedah akan dilaksanakan dengan lebih awal.

"Dolar AS juga lebih kukuh berbanding mata wang utama seperti euro dan yen sebagaimana dipaparkan oleh kenaikan berterusan Indeks Dolar AS (DXY) kepada 95.928 mata," katanya kepada Bernama.

Berikutan itu, beliau menjangkakan ringgit terus lemah hari ini dan bergerak dalam jajaran RM4.16 hingga RM4.17 pada hari ini.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Ia mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.6005/6052 daripada 5.6050/6097 semalam dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.6341/6375 daripada 3.6543/6569.

Ringgit juga tinggi berbanding berbanding euro kepada 4.7235/7275 daripada 4.7313/7353 dan meningkat berbanding dolar Singapura pada 3.0740/0770 daripada 3.0755/0783 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini