Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Nilai ringgit menyusut daripada kenaikan yang dicatat semalam dan dibuka rendah berbanding dolar AS dalam situasi tindak balas bercampur-campur terhadap data pekerjaan AS, sekali gus telah mempengaruhi kehendak untuk dolar, kata seorang peniaga.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan susut kepada 4.2200/2230 berbanding dolar AS daripada 4.2150/2180 pada penutupan urus niaga Khamis.

Peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata dolar AS masih terperangkap dalam pergerakan yang mendatar berbanding ringgit pada Jumaat.

"Data Tuntutan Pengangguran Awal menunjukkan bacaan terendah sejak 1969, dan angka ini yang seiring dengan objektif Rizab Persekutuan AS untuk mencapai guna tenaga penuh, boleh mengakhiri proses pengurangan lebih cepat daripada jangkaan dan ini juga boleh menyebabkan kenaikan kadar faedah pada 2022 untuk membendung kemajuan inflasi di AS.

"Peralihan pandangan daripada memihak kepada pertumbuhan ekonomi ini boleh menyokong ringgit meningkat lebih tinggi berbanding dolar dalam beberapa hari akan datang.

Beliau juga berkata dari sudut teknikal, jika harga berjaya menembusi paras 4.2400, ia boleh mencecah 4.2900.

"Sebaliknya, sekiranya ia mencecah paras 4.1930, ia boleh mencapai paras 4.1400 dalam tempoh beberapa hari ini," tambah Diniz.

Mata wang tempatan lemah berbanding mata wang utama yang lain kecuali euro.

Unit tempatan meningkat berbanding euro kepada 4.7635/7669 daripada 4.7705/7739 semalam.

Namun begitu, ringgit menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.0909/0933 daripada 3.0897/0921 pada Khamis, lega berbanding yen Jepun kepada 3.7220/7246 daripada 3.7117/7174, dan merosot berbanding pound Britain kepada 5.5772/5811 daripada 5.5655/5694.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini