Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Nilai ringgit lemah berbanding dolar AS ketika dibuka untuk urus niaga pagi ini apabila dolar terus mendapat perhatian, didorong oleh keputusan Rizab Persekutuan yang semakin cenderung untuk menaikkan kadar faedah.

Keputusan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) untuk menggandakan pengurangan pembelian aset kepada AS$30 bilion sebulan akan menyaksikan program pelonggaran secara kuantitatif Rizab Persekutuan berjalan lancar untuk dimuktamadkan menjelang Mac 2022, beberapa bulan lebih awal daripada jadual.

Pada 9.20 pagi, mata wang tempatan berada pada 4.2270/2300 berbanding dolar AS daripada 4.2190/2210 penutupan Jumaat minggu lalu.

Dalam nota penyelidikannya, Kenanga Research berkata langkah itu akan membuka jalan ke arah peningkatan kadar faedah yang lebih awal tahun depan dengan kesemua 18 anggota FOMC menjangkakan sekurang-kurangnya satu kenaikan pada 2022 manakala 12 yang lain meramalkan tiga kali kenaikan 0.25 mata asas.

Justeru, ringgit boleh menyusut 0.01 peratus kepada paras 4.22 minggu ini, katanya.

Ia turut mengunjurkan ringgit akan terus lemah ekoran kebimbangan berterusan mengenai penularan varian Omicron.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakan rendah berbanding mata wang utama yang lain kecuali berbanding euro apabila ia mengukuh kepada 4.7520/7554 daripada 4.7805/7828.

Mata wang tempatan itu susut berbanding pound Britain kepada 5.5906/5946 daripada 5.6180/6203 Jumaat lepas dan lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.0915/0941 daripada 3.0899/0919 serta jatuh berbanding yen Jepun kepada 3.7206/7236 daripada 3.7139/7160 sebelumnya.


Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini