Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Persekitaran tidak menentu dalam pasaran mata wang menyaksikan ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan berada pada 4.1935/1980 berbanding dolar AS daripada 4.1890/1915 pada penutupan urus niaga hari Rabu.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberitahu Bernama bahawa kenyataan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS malam tadi menjadi pemacu utama kepada ketidaktentuan dalam pasaran mata wang kerana Rizab Persekutuan dijangka menaikkan kadar faedah pada Mac.

"Dan begitu juga, saiz imbangan kira-kira mereka yang 'mengembung' dijangka dapat dikurangkan mulai Mac. Namun begitu, terdapat tanggapan bahawa hasil bon akan meningkat dan ia boleh memburukkan lagi mod penghindaran risiko.

"Oleh itu, permintaan untuk mata wang selamat seperti dolar AS akan disokong dengan baik kerana peserta mata wang akan mencari perlindungan daripada situasi tidak menentu," tambahnya.

Sementara itu, mata wang tempatan didagangkan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama yang lain.

Ringgit meningkat berbanding euro kepada 4.6946/6997 daripada 4.7281/7309 pada hari Rabu, dan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.6306/6367 daripada 5.6567/6610 semalam.

Mata wang tempatan itu turut naik berbanding yen Jepun kepada 3.6462/6501 daripada 3.6710/6735 dan lebih tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.1040/1076 daripada 3.1152/1173 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini