Dagangan ringgit dibuka lebih rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Dagangan ringgit dibuka lebih rendah


KUALA LUMPUR: Nilai ringgit menyusut untuk dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika memula urus niaga pagi ini berikutan permintaan lemah serta ketegangan geopolitik yang semakin meruncing, kata peniaga.

Sebelum ini, mata wang tempatan mempamerkan peningkatan untuk dua hari urus niaga berturut-turut.

Pada jam 9.00 pagi ini, mata wang tempatan berada pada paras 4.1945/1980 berbanding dolar AS daripada penutup semalam pada 4.1920/1945.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberitahu Bernama mod menolak risiko berterusan memandangkan kemaraan tentera Russia ke arah Ukraine dilihat semakin ketara dengan lebih ramai korban awam dijangkakan.

Gandingan mata wang euro/dolar AS dan pound Britain/dolar AS terjejas teruk apabila kedua-dua mata wang berkenaan terus susut berbanding dolar AS, masing-masing kepada AS$1.1125 dan AS$1.3326.

"Perbendaharaan AS 10 tahun jatuh hampir 10 mata asas kepada 1.73 peratus, manakala S&P500 turun 1.55 peratus kepada 4,306.26 mata apabila pelabur beralih kepada aset berisiko rendah dalam usaha untuk mengekalkan modal mereka, " katanya.

Minyak mentah Brent kekal melepasi paras AS$100 setong, kini didagangkan 7.15 peratus lebih tinggi pada AS$104.97 setong.

Mohd Afzanizam berkata, harga minyak diramalkan kekal tinggi walaupun mesyuarat Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (Opec+) pada hari Rabu berkemungkinan menyaksikan anggotanya berpegang pada rancangan mereka untuk menambah bekalan sebanyak 400,000 tong sehari.

"Secara keseluruhannya, mata wang tempatan nampaknya mendapat sokongan daripada harga komoditi yang lebih tinggi kerana pengukuhan harga komoditi cenderung memberi manfaat kepada negara.

"Tetapi pada masa yang sama, kebimbangan terhadap perang Ukraine boleh menyebabkan susut nilai kerana mata wang yang disifatkan selamat dijangka mendapat permintaan tinggi," katanya sambil menambah bahawa ringgit seharusnya kekal sekitar RM4.19 hingga RM4.21 hari ini.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0896/0924 daripada 3.0944/0967 pada penutup semalam dan lebih tinggi berbanding pound Britain kepada 5.5883/5930 daripada 5.6231/6265.

Mata wang tempatan mengukuh berbanding yen kepada 3.6474/6508 daripada 3.6519/6544 pada hari Selasa dan naik berbanding euro kepada 4.6660/6699 daripada 4.6934/6962 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini