Nilai ringgit terus meningkat - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Nilai ringgit terus meningkat


KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan kenaikan semalam untuk ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan lebih ramai pelabur kembali kepada mata wang sedang pesat membangun termasuk ringgit, susulan perkembangan positif konflik Russia-Ukraine, menurut peniaga.

Pada 6 petang, mata wang tempatan mengukuh kepada 4.2030/2055 berbanding dolar AS daripada 4.2120/2155 pada Selasa.

Peniaga berkata, ringgit dijangka meningkat berikutan kemungkinan untuk Russia mengurangkan operasi ketenteraannya.

Beliau berkata, menurut laporan berita, Russia dan Ukraine berhati-hati namun optimis selepas perunding memuktamadkan satu pusingan rundingan damai, dengan Russia berkata, ia akan mengurangkan sebahagian aktiviti ketenteraan 'untuk meningkatkan saling mempercayai'.

Bagaimanapun, pelabur dijangka kekal berhati-hati terhadap perkembangan di China berikutan Shanghai memperluas kawasan sekatan pergerakannya ke beberapa bahagian barat bandar itu lebih awal daripada yang dijadualkan berikutan ia merekodkan sebanyak 5,982 kes tempatan baharu.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding mata wang utama lain.

Mata wang tempatan berkurangan berbanding pound Britain kepada 5.5248/5281 daripada 5.5114/5160 pada Selasa dan susut berbanding euro kepada 4.6784/6811 daripada 4.6492/6531 sebelum ini.

Ringgit merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.1034/1058 daripada 3.0966/0994 semalam dan turun berbanding yen kepada 3.4490/4515 daripada 3.4042/4073.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini