Nilai ringgit susut kepada 4.33 berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Nilai ringgit susut kepada 4.33 berbanding dolar AS

 


KUALA LUMPUR: Nilai ringgit terus turun berbanding dolar AS pada Isnin berikutan sokongan belian yang lebih kukuh untuk dolar apabila pasaran mengalihkan tumpuan kepada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS yang akan diadakan pada 3 dan 4 Mei ini, kata seorang penganalisis.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan menyusut nilai kepada 4.3320/3365 berbanding dolar AS daripada penutupan Jumaat 4.3230/3270.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata peserta pasaran bimbang dengan pendirian Rizab Persekutuan AS yang cenderung untuk menaikkan kadar faedah dan ini boleh menjuruskan kepada pembubaran imbangan kira-kira yang ketara serta kenaikan kadar faedah yang agresif.

"Data Indeks Harga Pengguna (CPI) AS baru-baru ini yang melonjak sehingga 8.5 peratus tahun ke tahun untuk bulan Mac, mungkin membayangkan Persekutuan (Fed) sememangnya mahu ia berada di belakang keluk dalam menyokong jangkaan inflasi.

"Justeru, Kadar Dana Persekutuan mungkin akan dinaikkan pada magnitud yang lebih

besar pada mesyuarat FOMC akan datang," katanya.

Mohd Afzanizam berkata bagi Malaysia, kadar inflasi terus dikekalkan pada 2.2 peratus untuk dua bulan berturut-turut pada Mac 2022.

"Ini mencadangkan bahawa Bank Negara Malaysia mungkin tidak tergesa-gesa untuk menormalkan kadar dasar semalaman (OPR) dalam tempoh terdekat," tambahnya.

Sementara itu, rakan kongsi pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata pemacu utama bagi ringgit adalah gabungan hasil AS yang tinggi, masalah ekonomi China dan kebimbangan kemelesetan global.

"Mata wang Asia boleh bergerak ke dalam kitaran susut nilai, didorong oleh yuan yang lebih lemah apabila People's Bank of China (PBoC) melihat kepada pasaran eksport untuk mengimbangi kelemahan domestik," katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.3644/3682 daripada 3.3652/3686 pada penutup Jumaat tetapi lemah berbanding euro kepada 4.6794/6843 daripada 4.6710/6753.

Mata wang tempatan itu menambah nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.1579/1614 daripada 3.1633/1667 Jumaat lepas dan lebih tinggi berbanding pound Britain kepada 5.5549/5603 daripada 5.5641/5693.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini