Harga minyak dunia kembali cecah AS$120 setong - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Harga minyak dunia kembali cecah AS$120 setong


HONG KONG: Harga minyak mentah melonjak selepas Kesatuan Eropah mencapai persetujuan untuk menyekat sebahagian import Russia sebagai sebahagian hukuman terhadap pencerobohannya ke atas Ukraine.

Ia menyebabkan pasaran saham di Asia diniagakan tidak menentu dengan inflasi terus mencetuskan kebimbangan, ketika seorang pegawai tertinggi Rizab Persekutuan (Fed) menggesa beberapa siri kenaikan besar kadar faedah.

Harga minyak mentah Brent berada di atas AS$122 setong buat kali pertama dalam tempoh dua bulan, manakala WTI berada pada sekitar AS$117 setong apabila pemimpin Eropah berkata bahawa sekatan terbaharu untuk akan melarang pembelian minyak Russia yang dihantar menggunakan laut, namun ada pengecualian sementara bagi penghantaran saluran paip.

Meskipun telah dijangka, perjanjian itu terus menambah tekanan meningkat terhadap minyak mentah ketika China baru saja melonggarkan sekatan COVID-19 di Shanghai dan Beijing, meningkatkan lagi kemungkinan berlaku lonjakan permintaan daripada ekonomi kedua terbesar dunia itu.

Kenaikan harga minyak akan melonjakkan lagi inflasi yang sedia tinggi selain menambah tekanan terhadap bank-bank pusat untuk mengetatkan dasar monetari bagi menghalangnya berada di luar kawalan.

Pasaran saham Asia mencatatkan turun naik sepanjang pagi ini, walaupun terdapat berita baik daripada data yang menunjukkan angka pengeluaran China bagi Mei menguncup pada kadar lebih perlahan berbanding jangkaan.

Isyarat kesukaran yang dihadapi oleh pembuat dasar semakin jelas, dengan harga barangan di Jerman melonjak pada kadar paling tinggi dalam sejarah, manakala di Sepanyol pula melebihi jangkaan.

Di Amerika Syarikat (AS), peluang tempoh dilanjutkan bagi kadar faedah dinaikkan semakin bertambah selepas Gabenor Fed, Christopher Waller, berkata beliau memilih kenaikan separuh mata asas 'untuk beberapa kali' sehingga inflasi kembali perlahan kepada sasaran dua peratus oleh bank pusat itu.

Pasaran saam Hong Kong diniagakan sedikit rendah selepas meningkat selama dua hari, manakala Shanghai turut susut.

Pasaran di Sydney, Taipei dan Manila masing-masing merosot, namun Tokyo, Seoul, Singapura, Jakarta dan Wellington meningkat.

Pengurus Pelaburan AXA Investment, Chris Iggo bagaimanapun memberi amaran bahawa satu lagi penurunan antara 10 hingga 15 peratus pasaran saham masih boleh belaku.

"Mood dalam pasaran berada lebih baik buat sementara waktu. Saya merasakan tempoh terburuk untuk pasaran telah berakhir, namun situasi dalam pasaran saham lebih merumitkan," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini