Nilai ringgit pulih sedikit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Nilai ringgit pulih sedikit


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini meskipun kebimbangan yang meningkat bahawa langkah-langkah dasar terbaharu China tidak berkesan untuk merangsang ekonomi.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan berada pada 4.3930/3960 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.3940/3980 pada Selasa.

Menurut laporan Bloomberg, pakar ekonomi berhati-hati mengenai sama ada langkah-langkah rangsangan baharu tersebut boleh meningkatkan pertumbuhan China kerana dasar sifar COVID-19 negara itu yang ketat telah menyebabkan gangguan besar kepada aktiviti perniagaan.

Rakan pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata ringgit juga diniagakan secara meluas sejajar dengan pertukaran asing Asia yang lain.

"Hari ini merupakan hari penstabilan apabila para peniaga menunggu minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Amerika Syarikat (Fed) bagi kemungkinan bayangan kenaikan kadar faedah selepas bulan Jun dan Julai," katanya.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1947/1971 daripada paras penutup 3.1966/1999 pada Selasa dan naik berbanding euro kepada 4.6895/6927 daripada 4.7064/7107.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 3.4563/4590 daripada 3.4506/4540 dan turun berbanding pound Britain kepada 5.4908/4946 daripada 5.4885/4935 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini