Dagangan ringgit ditutup rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Dagangan ringgit ditutup rendah

 


KUALA LUMPUR: Ringgit mencatatkan prestasi berbeza daripada kenaikan pada Jumaat lepas untuk ditutup rendah berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin, susulan sentimen berhati-hati menjelang keputusan kadar faedah oleh Bank Negara Malaysia (BNM) minggu ini.

Pada 6 petang, mata wang tempatan susut berbanding dengan dolar AS kepada 4.4120/4145 daripada 4.4060/4085 ketika ditutup pada Jumaat lalu.

Penganalisis berkata, walaupun S&P Global Ratings menyemak penarafan kredit Malaysia kepada unjuran stabil daripada negatif sebelum ini, namun ringgit lemah berbanding dengan dolar AS.

Ini kerana, pengesahan Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed), Jerome Powell yang cenderung kepada kadar faedah tinggi telah menolak kembali indeks dolar AS (DXY) melebihi paras 105.0, katanya.

"Bagaimanapun, keyakinan S&P terhadap Malaysia ditambah dengan aktiviti pembuatan di negara ini yang semakin baik telah mendorong mengehadkan penyusutan ringgit," katanya.

Pada 27 Jun, S&P Global Ratings menyemak naik unjuran penarafan kredit berdaulat jangka panjang Malaysia kepada 'stabil' daripada 'negatif', mencerminkan jangkaannya bahawa momentum pertumbuhan Malaysia yang stabil dan kedudukan luaran yang kukuh akan kekal dalam tempoh dua tahun akan datang.

Bagaimanapun, penganalisis berkata ringgit mungkin meningkat kepada paras di bawah 4.40 berbanding dengan dolar AS memandangkan BNM dijangka menaikkan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 25 mata asas lagi.

Mata wang tempatan juga dijangka meraih manfaat daripada potensi peningkatan petunjuk makroekonomi Malaysia.

Ringgit ditutup rendah berbanding dengan beberapa mata wang utama.

Unit tempatan susut berbanding dengan pound British kepada 5.3496/3526 daripada 5.3163/3193 ketika ditutup pada Jumaat lalu dan rendah berbanding dengan euro kepada 4.6070/6096 daripada 4.5060/6086.

Ringgit turun berbanding dengan yen Jepun kepada 3.2578/2599 daripada 3.2483/2504 pada Jumaat lepas dan tidak berubah berbanding dengan dolar Singapura pada 3.1596/1618.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini