Dolar AS mengukuh, ringgit ditutup rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Dolar AS mengukuh, ringgit ditutup rendah


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini dengan mata wang negara maju itu terus mengukuh terutama menjelang pengumuman data pekerjaan AS pada minggu ini yang dijangka kekal kukuh, kata seorang penganalisis.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan menyusut nilai berbanding dolar kepada 4.4185/4200 daripada 4.4120/4145 penutupan urus niaga semalam (Isnin).

Rakan pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata terdapat juga bidaan ke atas dolar AS berikutan kebimbangan yang semakin ketara berhubung kemelesetan dan ini terus melemahkan pertukaran asing Asia secara menyeluruh dan mata wang G10 secara amnya.

Di dalam negara, beliau berkata dengan kadar pengangguran pada 3.9 peratus, masih agak tinggi sedikit daripada paras sebelum COVID manakala inflasi hanya 2.8 peratus, Bank Negara Malaysia (BNM) dilihat kurang tertekan berbanding bank pusat lain untuk menaikkan kadar dengan cepat.

"Tetapi kadar dasar sebenar adalah negatif, dan itu boleh menjejaskan ringgit secara berlebihan di mata bank pusat kerana ia cuba menangani ancaman gelung maklum balas kepada inflasi melalui mata wang yang lebih lemah.

"Jadi, kami menjangkakan BNM akan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas untuk mengelak mata wang tempatan terus lemah," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit ditutup tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama yang lain.

Mata wang tempatan meningkat nilainya berbanding pound Britain kepada 5.3168/3186 daripada penutup Isnin pada 5.3496/3526 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.5511/5526 daripada 4.6070/6096.

Ringgit turut menambah nilai berbanding yen Jepun kepada 3.2530/2543 daripada 3.2578/2599 dan lebih kukuh berbanding dolar Singapura pada 3.1486/1502 berbanding 3.1596/1618 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini