Ringgit susut kepada RM4.448 berbanding dolar - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit susut kepada RM4.448 berbanding dolar


KUALA LUMPUR: Ringgit terus ditutup pada paras terendah dalam tempoh lebih dua tahun berbanding dolar AS hari ini, menerima tekanan daripada data ekonomi suku kedua China yang lemah.

Pada 6 petang, mata wang tempatan merosot kepada 4.4480/4505 berbanding dolar AS daripada 4.4435/4450 pada Khamis.

China mencatatkan pertumbuhan sebanyak 0.4 peratus pada suku kedua 2022, jauh di bawah jangkaan berikutan langkah-langkah kawalan COVID-19.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata lonjakan kes COVID-19 di China bermakna sekatan pergerakan yang lebih lama boleh dijangkakan.

Awal hari ini, People's Bank of China memutuskan untuk mengekalkan kadar kemudahan pinjaman jangka sederhana setahun tidak berubah pada 2.85 peratus seperti yang dijangkakan, justeru tidak menyuntik dana baharu ke dalam sistem perbankan.

"Ini adalah petunjuk bahawa bank pusat beralih daripada pelonggaran dasar selepas penurunan kadar yang terakhir pada Januari dan ia adalag negatif untuk pasaran mata wang tempatan," katanya.

Innes berkata pasaran turut menunggu komponen jangkaan inflasi daripada kaji selidik keyakinan University of Michigan yang akan dikeluarkan hari ini, yang boleh mendorong Rizab Persekutuan AS untuk menaikkan kadar faedah sebanyak 100 mata asas (bps) jika bacaan adalah tinggi.

"Saya, bagaimanapun, berpendapat mereka akan kekal kepada 75 bps berikutan harga petrol rendah pada bulan ini dan kesan asas bermula, yang bermakna inflasi keseluruhan akan merosot dengan segera.

"Bagaimanapun, dengan pasaran masih bergantung kepada jangkaan kenaikan 100 bps, ia masih menyokong dolar AS," katanya.

Dalam negara, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.1688/1710 daripada 3.1717/1732 semalam dan naik berbanding pound kepada 5.2629/2658 daripada 5.2762/2780 sebelum ini.

Bagaimanapun, ia merosot berbanding euro kepada 4.4662/4687 daripada 4.4635/4650 pada Khamis dan rendah berbanding yen Jepun kepada 3.2048/20699 daripada 3.2009/2022.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini