Dagangan ringgit-dolar AS berakhir tidak berubah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Dagangan ringgit-dolar AS berakhir tidak berubah


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini dalam persekitaran kemungkinan Rizab Persekutuan (Fed) melaksanakan pelarasan kadar faedah yang ketara untuk mengawal inflasi yang meningkat.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan berada pada 4.4660/4685 berbanding dolar AS daripada 4.4660/4680 pada Selasa.

Data Jabatan Perdagangan AS menunjukkan pembinaan rumah baharu mencecah paras terendah dalam tempoh 18 bulan pada Julai.

Data itu turut mendedahkan bahawa pembinaan kediaman baharu di AS merosot 9.6 peratus pada bulan lalu kepada 1.45 juta, menunjukkan bahawa pasaran hartanah sedang bergelut lebih daripada jangkaan dan ia boleh melonjakkan inflasi.

Seorang peniaga berkata, keadaan itu telah meningkatkan lagi tarikan aset selamat dolar AS menjelang minit mesyuarat Fed pada Julai dan data jualan runcit AS pada Julai dikeluarkan lewat hari ini yang dapat memberi petunjuk seterusnya mengenai kadar kenaikan kadar faedah pada masa depan.

Beliau berkata, pegawai Fed telah memberi isyarat mengenai keperluan untuk lebih banyak kenaikan sehingga inflasi terkawal.

"Dalam negara, turun naik pasaran dijangka berterusan sehingga terdapat kepastian," katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2315/2338 daripada 3.2346/2365 pada Selasa dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.3126/3147 daripada 3.3284/3301 sebelum ini.

Unit tempatan merosot berbanding pound kepada 5.4048/4078 daripada 5.3686/3710 semalam dan susut berbanding euro kepada 4.5455/5480 daripada 4.5258/5279.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini