Ringgit lonjak tinggi berbanding pound, RM4.9695 tertinggi 10 tahun - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit lonjak tinggi berbanding pound, RM4.9695 tertinggi 10 tahun


KUALA LUMPUR: Ringgit mencatat paras tertinggi baharu dalam tempoh 10 tahun berbanding pound British, meningkat ke bawah paras RM5.00 apabila ditutup pada RM4.9695 pada Jumaat lalu.

Mata wang tempatan juga mencatat kenaikan kira-kira 16 peratus sejak 29 Julai 2021 iaitu apabila ia melonjak daripada RM5.91 berbanding pound British kepada paras semasa.

Ringgit turut mencatat paras tertinggi baharu dalam tempoh tujuh tahun berbanding euro apabila ditutup pada RM4.4374.

Mata wang tempatan melonjak kira-kira 12 peratus berbanding euro sejak 17 Mei 2021 iaitu daripada RM5.04 kepada paras semasa.

Penganalisis berkata, perkara itu berlaku susulan kesan pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS), yang mana kejatuhan pound British dan euro adalah lebih besar dan drastik berbanding ringgit

Katanya, pound British dan euro menjunam ke paras terendah baru 37 tahun dan 20 tahun berbanding dolar AS.

Kedua-dua mata wang itu terjejas teruk selepas terdapat laporan dapatan tinjauan yang menunjukkan kemerosotan dalam aktiviti perniagaan di seluruh zon euro dan Britain dan ekonomi di negara zon berkenaan berkemungkinan memasuki fasa kemelesetan.

Agensi berita Reuters pula melaporkan, turut memberi tekanan kepada pound British adalah apabila Menteri Kewangan baharu Britain, Kwasi Kwarteng, mengumumkan pemotongan cukai dan bantuan sokongan kepada isi rumah dan korporat di negara itu, yang mana akan menyaksikan kerajaan akan mengemukakan cadangan terbitan hutang tambahan 72 bilion pound (RM357.322 bilion) untuk tahun kewangan semasa untuk membiayai rangsangan itu.

Ketua Penyelidikan FX global Deutsche Bank, George Saravelos dalam nota penyelidikan yang dipetik Reuters, berkata pasaran memberi isyarat yang sangat kuat bahawa ia tidak lagi bersedia untuk membiayai kedudukan defisit luar UK pada konfigurasi semasa hasil sebenar UK dan kadar pertukaran.

"Tindak balas dasar yang diperlukan untuk apa yang sedang berlaku adalah jelas: kenaikan kadar antara mesyuarat yang besar daripada Bank of England sejurus minggu depan untuk mendapatkan semula kredibiliti dengan pasaran.

"Dan, isyarat kuat bahawa ia bersedia untuk melakukan 'apa sahaja yang diperlukan' untuk menurunkan inflasi dengan cepat dan hasil sebenar ke wilayah positif," katanya.

Dari segi euro pula, kejatuhan mata wang itu dicetuskan sebahagiannya oleh data yang menunjukkan Indeks Pengurus Pembelian Komposit (PMI) zon euro yang disiarkan S&P Global, susut mendadak pada September.

Kemerosotan dalam aktiviti perniagaan di Jerman semakin parah, apabila kos tenaga yang besar menjejaskan ekonomi terbesar Eropah itu dan syarikat menyaksikan penurunan dalam perniagaan baharu.

Sementara itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, baru-baru ini menegaskan meskipun ringgit menyusut sebanyak 7.5 peratus berbanding dolar AS sejak awal 2022, namun prestasi mata wang tempatan itu harus dilihat secara menyeluruh dan tidak hanya dibandingkan dengan dolar AS kerana mata wang tempatan itu juga meningkat berbanding banyak mata wang utama lain di dunia.

"Contohnya, yen Jepun turun 19.2 peratus, yang terendah sejak 24 tahun lalu, pound sterling jatuh 14.4 peratus, terendah sejak 37 tahun dan Euro turun sebanyak 11.7 peratus, terendah semenjak 20 tahun yang lalu," katanya menerusi hantaran video di laman media sosial beliau.

Beliau berkata meskipun negara-negara tersebut turut mengalami penurunan nilai mata wang berbanding dolar AS, namun ia tidak mengalami krisis ekonomi termasuk di Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun.

Menurutnya lagi, jika dibandingkan dengan rakan dagang Malaysia dan mata wang lain, nilai ringgit telah meningkat.

Sebagai contoh, beliau berkata, ringgit melonjak sebanyak 14.2 peratus berbanding yen Jepun, 3.9 peratus berbanding dolar New Zealand dan 7.2 peratus berbanding won Korea.

"Yang penting, sebagai sebuah negara pengeksport, nilai ringgit yang rendah berbanding dolar AS juga memberi kesan positif kepada pendapatan eksport negara.

"Jadi jangan tengok pada satu aspek sahaja. Cuba tanya pengeksport Malaysia...depa (mereka) semua happy (gembira) sebab barangan eksport mereka menjadi lebih kompetitif," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini