Ringgit susut ke paras terendah baharu dalam 24 tahun - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit susut ke paras terendah baharu dalam 24 tahun


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin, diasak berterusan oleh tekanan pengukuhan unit negara maju itu bagi sesi kelima berturut-turut susulan jangkaan kenaikan kadar faedah AS pada minggu ini, kata penganalisis.

Pada 6 petang ini, ringgit di paras 4.5495/5515 berbanding dolar AS daripada 4.5340/5365 pada akhir urus niaga Khamis lepas.

Pasaran ditutup pada Jumaat bersempena cuti umum sambutan Hari Malaysia.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Firdaos Rosli berkata ringgit turut ditekan oleh data jualan runcit dan tuntutan pengangguran AS yang lebih kukuh dan hanya mendorong bank pusat AS untuk mempertahankan pendirian tegas dalam menangani inflasi.

"Ini akan menyebabkan pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) menaikkan lagi kadar faedah yang akan memberi kesan terhadap mata wang negara-negara sedang pesat membangun, termasuk ringgit," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata ringgit semakin mengukuh berbanding mata wang utama lainnya sejak beberapa minggu lepas susulan asas-asas ekonomi negara yang kukuh manakala prospeknya juga kekal stabil di tengah-tengah pemulihan pasaran tenaga kerja secara beransur-ansur.

"Namun, ringgit dijangka kekal susut berbanding dolar AS berikutan jangkaan pasaran mengenai kenaikan satu mata penuh atau sekurang-kurangnya 75 mata asas dalam mesyuarat pada 20-21 September ini," katanya.

Berikutan itu, Firdaos menjangkakan ringgit diniagakan antara RM4.55 hingga RM4.57 berbanding dolar AS pada minggu ini.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ringgit rendah berbanding euro kepada 4.5372/5392 daripada 4.5317/5342 pada akhir urus niaga Khamis, susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2261/2278 daripada 3.2238/2261 dan turun berbanding yen Jepun kepada 3.1706/1724 daripada 3.1647/1666 sebelum ini.

Unit tempatan itu bagaimanapun mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.1678/1700 daripada 5.2214/2242 pada minggu lalu.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini