Ringgit catat paras terendah, RM4.71 berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit catat paras terendah, RM4.71 berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka pada paras terendah sepanjang masa berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi Isnin berikutan permintaan yang kukuh terhadap dolar AS yang disifatkan sebagai mata wang selamat, kata peniaga.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan menyusut nilai berbanding dolar AS pada 4.7105/7135 daripada penutupan 4.7025/7065 pada Jumaat lalu.

Menurut Kenanga Research dalam notanya hari ini, ringgit terus menyusut berbanding dolar AS selepas ketidaktentuan politik domestik semakin meningkat ekoran pembubaran Parlimen.

"Minggu ini, ringgit dijangka diniagakan melepasi paras 4.70 berbanding dolar di sebalik ketidaktentuan politik domestik selain penghindaran risiko global yang berterusan dengan Rizab Persekutuan AS dijangka mengetatkan lagi dasar monetarinya secara agresif.

"Dalam pada itu, mod teknikal kami mencadangkan ringgit mungkin meningkat sebanyak 0.44 peratus kepada 4.684 berbanding dolar AS," tambahnya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama kecuali yen Jepun.

Mata wang tempatan turun sedikit berbanding pound Britain kepada 5.2871/2904 daripada 5.2870/2915 pada penutup Jumaat lepas, susut berbanding euro menjadi 4.5909/5938 daripada 4.5741/5780 dan lebih rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.3024/3047 daripada 3.3009/3042.

Bagaimanapun, ringgit menambah nilai berbanding yen Jepun kepada 3.1708/1732 daripada 3.1836/1867 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini