Ringgit terendah dalam sejarah, RM4.738 berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit terendah dalam sejarah, RM4.738 berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit terus merosot berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini dengan ditutup pada paras terendah baharu sepanjang masa pada RM4.738 berikutan ketiadaan pemangkin baharu, kata penganalisis.

Pada 6 petang, unit tempatan turun 110 mata asas kepada 4.7380/7395 berbanding dolar AS daripada 4.7270/7290 sewaktu ditutup pada Khamis.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata, seiring dengan pertukaran asing Asia, ringgit meneruskan aliran penurunannya hari ini selepas hasil Perbendaharaan AS 10 tahun bergerak pada 4.25 peratus untuk kali pertama sejak 2008.

Beliau berkata, langkah itu dicetuskan oleh pegawai Rizab Persekutuan (Fed) AS yang cenderung meningkatkan kadar faedah, sekali gus mewujudkan kebimbangan bahawa langkah memperketat monetari yang lebih tegas boleh mencetuskan pandemik di seluruh dunia.

"Bagaimanapun, tiada kelegaan di peringkat tempatan berikutan kebimbangan mengenai peraturan pandemik yang tegas di China terus menjejaskan pasaran mata wang serantau dalam keadaan sekatan pergerakan tambahan yang diadakan," katanya kepada Bernama.

Menurut laporan, Beijing telah mengetatkan langkah untuk membendung COVID-19, mempertingkatkan pemeriksaan awam dan melaksanakan sekatan pergerakan di beberapa kawasan kediaman selepas kes meningkat empat kali ganda pada beberapa minggu lalu.

Di peringkat domestik, seorang penganalisis berkata, berikutan pendirian Fed untuk meningkatkan kadar faedah, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka melaksanakan satu lagi kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dengan sasaran untuk menstabilkan penyusutan ringgit dan menarik pelaburan ke negara ini.

"Meskipun inflasi makanan melemahkan ringgit, kuasa pengguna dijangka diimbangi semula dengan kenaikan deposit tetap dan dividen pelaburan.

"Bagaimanapun, memandangkan Malaysia kini dalam sentimen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), pelabur dijangka mengamalkan pendekatan tunggu dan lihat untuk melihat dasar yang akan dilaksanakan ke atasnya," kata penganalisis itu.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama daripada ketika ditutup pada Khamis.

Mata wang tempatan menokok berbanding euro kepada 4.6139/6153 daripada 4.6244/6264 dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.2677/2694 daripada 5.2971/2993 sewaktu ditutup semalam.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3144/3157 daripada 3.3172/3188 sebelum ini dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1384/1396 daripada 3.1547/1565 sewaktu ditutup pada Khamis.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini