Ringgit terus catat penyusutan berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit terus catat penyusutan berbanding dolar AS

 


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan pengukuhan dolar sebagai mata wang selamat di tengah-tengah sentimen berisiko di pasaran, menurut seorang penganalisis.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan menyusut kepada 4.6480/6520 berbanding dolar AS daripada 4.6345/6390 yang dicatatkan semalam.

Rakan pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata hasil Perbendaharaan AS 10 tahun meningkat dua mata asas kepada 3.84 peratus ketika pasaran menunggu pengumuman laporan pekerjaan AS yang boleh memberi tanda-tanda inflasi dan dasar akan datang Rizab Persekutuan (Fed).

"Hasil AS dan retorik yang memberangsangkan daripada Fed telah menyaksikan lonjakan mendadak bagi dolar AS ketika pasaran menuju ke dalam pengumuman laporan pekerjaan AS malam ini.

"Mata data daripada AS kekal kukuh selepas pelabur melindung nilai dengan kekal lama dalam dolar AS menjelang laporan gaji bukan perladangan AS," katanya.

Hari ini, Presiden Fed Chicago, Charles Evans berkata, kadar penanda aras AS mungkin akan berada pada 4.50 hingga 4.75 peratus menjelang musim bunga akan datang ketika para pegawai mula bimbang dengan inflasi teras yang tinggi.

Sementara itu, Evans berkata, tanda-tanda bahawa pasaran buruh semakin kukuh sewajarnya akan meredakan sebarang perbincangan penting Fed buat masa ini dan ringgit akan sangat terdedah dalam senario itu.

Beliau menjelaskan data ekonomi AS akan mengukuh berdasarkan kepada jumlah gaji bukan perladangan AS yang mantap, pasaran berpendapat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) perlu meletakkan kadar faedah lebih tinggi untuk lebih lama bagi mengurangkan inflasi teras.

"Peningkatan kadar faedah AS adalah tidak baik untuk ringgit tetapi jika ia kekal tinggi lebih lama, ia akan mendorong jangkaan pemulihan ringgit," kata Innes.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan itu naik berbanding pound Britain kepada 5.2132/2177 daripada 5.2231/2282 yang dicatatkan semasa ditutup semalam dan menokok berbanding euro kepada 4.5574/5613 daripada 4.5821/5866.

Bagaimanapun, ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2529/2559 daripada 3.2518/2552 semalam dan merosot berbanding yen Jepun kepada 3.2084/2116 daripada 3.2033/2066 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini