Ringgit dibuka tinggi, tak terkesan perkembangan politik - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka tinggi, tak terkesan perkembangan politik


KUALA LUMPUR: Nilai ringgit dibuka agak tinggi sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), didorong oleh minat belian yang diperbaharui walaupun China masih meneruskan sekatan COVID-19 selain turut mengetepikan keadaan tidak menentu yang berkisar mengenai Parlimen tergantung dan pembentukan kerajaan di Malaysia, kata seorang penganalisis.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan menambah nilai kepada 4.5745/5830 berbanding dolar AS daripada penutupan 4.5770/5850 pada Isnin.

Pengarah Urusan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata AS kembali pulih selepas merosot minggu lalu berikutan sentimen lemah disebabkan peningkatan kes COVID-19 di China dan data Indeks Harga Pengeluar (IHP) Jerman yang kurang memberangsangkan, turun buat kali pertama dalam tempoh dua tahun.

"Saya juga berpendapat minit Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) minggu ini akan menjadi lebih cenderung untuk menaikkan kadar faedah," katanya kepada Bernama.

Justeru, beliau menjangkakan ringgit akan diniagakan lemah hari ini apabila berita mengenai pembukaan semula China semakin mereda, ditambah dengan risiko daripada keputusan Pilihan Raya Umum ke-15.

Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz, pula berkata peniaga masih menantikan pengumuman data 'Building Permits' AS bagi mendapatkan lebih banyak petunjuk berkenaan sektor hartanah.

"Dari sudut teknikal, mata wang tempatan boleh mencecah setinggi 4.6250 berbanding dolar AS dan pada paras itu, ia boleh menemui paras rintangan," katanya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama yang lain.

Nilai ringgit menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.3129/3196 daripada 3.3107/3169 pada penutup Isnin, lemah berbanding euro pada 4.6902/6989 daripada 4.6827/6909 dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.4180/4281 daripada 5.4036/4131 sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit menambah nilai berbanding yen Jepun kepada 3.2222/2284 daripada 3.2278/2337 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini