Ringgit lemah lagi berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit lemah lagi berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan aliran kemerosotan pada akhir urus niaga Selasa berikutan pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan jangkaan pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) menaikkan kadar faedah, kata peniaga.

Pada jam 6 petang, ringgit susut pada paras 4.7345/7375 berbanding 4.7260/7300, semalam.

Pengarah Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata mata wang negara-negara Asia termasuk Malaysia, terus bergelut diasak oleh jangkaan bahawa pihak Fed menaikkan kadar faedah sebanyak 75 mata asas lagi.

"Ini dijejaskan lagi dengan data pembuatan China yang menggambarkan kelembapan ketara dan hanya mempengaruhi kelemahan ringgit sehinggalah dasar sifar COVID-19 China itu ditamatkan.

"Malah, terdapat spekulasi bahawa China berkemungkinan melonggarkan langkah COVID-19 pada Mac 2023 berbanding akhir suku kedua tahun depan. Jika ini benar, sekurang-kurangnya ia dapat merangsang pemulihan ekonomi negara berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, kenaikan harga minyak mentah juga gagal melonjakkan ringgit apabila peniaga tidak yakin dengan kemampanannya susulan lebihan bekalan di peringkat global.

Setakat petang ini, harga minyak mentah penanda aras global, Brent menokok 1.33 peratus kepada AS$94.04 setong.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kelompok mata wang utama lain.

Ringgit susut berbanding yen Jepun pada paras 3.2107/2130 daripada 3.1833/1863, rendah berbanding euro kepada 4.7033/7062 daripada 4.7000/7040 dan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.3571/3595 daripada 3.3409/3439 pada Isnin.

Unit tempatan itu bagaimanapun mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.4608/4642 daripada 5.4647/4693, sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini