Ringgit meningkat kepada RM4.73 berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit meningkat kepada RM4.73 berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) semasa mengakhiri sesi dagangan pada Isnin dalam persekitaran sentimen positif dalam pasaran ekuiti global.

Pada 6 petang, unit tempatan naik kepada 4.7385/7420 berbanding dolar AS daripada 4.7460/7495 pada Jumaat lalu.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata kenaikan ringgit berbanding dolar AS, bagaimanapun, akan dihadkan menjelang pengumuman Indeks Harga Pengguna (IHP) AS pada Khamis.

Menurut beliau, IHP AS akan menjadi petunjuk seterusnya untuk Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan berhubung tahap tinggi untuk mengambil kadar faedah.

Innes berkata, peniaga Asia sedang mencari petunjuk untuk pembukaan semula China dan pasaran akan berada pada kedudukan lebih awal untuk pembukaan semula dengan membeli ekuiti serantau dan yuan China.

"Ini akan memberi impak kepada ringgit dan di peringkat tempatan, kita perlu mengurangkan risiko politik dalam pilihan raya umum. Kemudian, mata wang tempatan perlu diniagakan hampir kepada pergerakan asas dalam yuan China," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.3731/3761 daripada 3.3517/3546 pada Jumaat lalu dan berkurangan berbanding yen kepada 3.2303/2329 daripada 3.2111/2137 sebelum ini.

Mata wang tempatan turut rendah berbanding euro kepada 4.7323/7358 daripada 4.6383/6417 pada Jumaat dan susut berbanding pound kepada 5.4227/4267 daripada 5.3231/3270.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini