Dagangan ringgit berakhir lebih baik hari ini - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Dagangan ringgit berakhir lebih baik hari ini


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari Selasa apabila mata wang AS itu menyusut susulan kekurangan permintaan selepas cuti panjang hujung minggu.

Pada 6 petang Selasa, mata wang tempatan meningkat kepada 4.4205/4255 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.4225/4260 pada Jumaat minggu lalu.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata pengukuhan ringgit itu juga disokong oleh sentimen positif apabila China mengurangkan sekatan perjalanan kemasukan ke negara itu namun prestasi itu rendah berbanding kenaikan terdahulu kerana pelabur tempatan masih belum pasti prospek kedatangan pelancong China ke Malaysia.

"Satu langkah yang positif bagi pembukaan semula China. Bagaimanapun, pembukaan semula itu membawa kesan yang baik dan juga buruk kepada inflasi. Berita baiknya adalah China kembali menjadi pembekal barangan kos rendah bagi pasaran dunia yang akan meningkatkan semula rantaian bekalan.

"Tetapi, berita buruknya adalah dengan pertumbuhan meningkat pantas pada suku pertama, permintaan besar terhadap bahan mentah dan tenaga oleh China akan melonjakkan harga komoditi berkenaan, yang seterusnya akan membimbangkan Rizab Persekutuan AS dan Bank Pusat Eropah.

"Jadi dagangan ringgit agak tidak berubah hari ini," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3267/3327 daripada 5.3349/3391 pada Jumaat minggu lalu dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.3182/3222 berbanding 3.3352/3381 sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2847/2889 daripada 3.2754/2785 dan turun berbanding euro kepada 4.7092/7145 daripada 4.6927/6964 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini