Faktor luaran, ringgit terus meningkat berbanding dolar - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers
InstaForex

Faktor luaran, ringgit terus meningkat berbanding dolar


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin, memandangkan mata wang negara maju itu terus susut susulan kenyataan pegawai Rizab Persekutuan AS (Fed) yang cenderung untuk menurunkan kadar faedah serta peningkatan minat risiko, kata penganalisis.

Pada 9.06 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.3750/3830 berbanding dolar AS daripada 4.3835/3925 ketika ditutup pada Jumaat minggu lalu.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata ringgit dibuka lebih kukuh pagi ini walaupun data pekerjaan AS dilaporan lebih positif.

Beliau berkata ini menunjukkan pelabur mengabaikan satu data yang baik dan bersetuju bahawa dengan data ekonomi AS yang lemah sebagai isyarat bahawa Fed akan terpaksa mengurangkan kadar faedah pada 2023.

"Harga minyak mentah juga mencatatkan prestasi baik selepas mesyuarat Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC), yang membantu ringgit dari segi perspektif perdagangan.

"Walaupun ringgit telah ketinggalan dari segi terma dagangan sepanjang tahun, ia kini sedang berusaha untuk seiring dengan pencepatan rancangan China untuk membuka semula ekonominya," katanya.

Selain itu, Innes berkata risiko politik domestik juga telah reda sepenuhnya selepas pengumuman pembentukan Kabinet, dengan pelabur tempatan terus memberi tumpuan kepada anjakan penurunan Fed dan momentum pembukaan semula China, yang dijangka merangsangkan ringgit menjelang tahun baharu.

"Mata wang Malaysia dan Thailand dijangka mendapat rangsangan yang besar pada separuh pertama tahun depan apabila pelancong China kembali," katanya.

Sementara itu, ringgit didagangkan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama pada sesi pembukaan.

Unit tempatan turun berbanding pound British kepada 5.3795/3893 daripada 5.3781/3892 ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas serta rendah berbanding euro kepada 4.6143/6228 daripada 4.6136/6231.

Bagaimanapun, ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2525/2587 daripada 3.2698/2768 minggu lepas dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2415/2481 daripada 3.2463/2535.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini